FLANDY Limpele ketika bersama BAM. -FOTO NSTP
FLANDY Limpele ketika bersama BAM. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan (beregu) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky mengakui agak 'pening kepala' untuk mencari pengganti setanding bekas ketua jurulatih beregu negara Flandy Limpele.

Beliau berkata, walaupun mempunyai ramai calon yang boleh mengisi kekosongan jawatan berkenaan namun mereka mungkin tidak mampu mencapai standard seperti yang berjaya dilakukan oleh jurulatih terbabit.

Beliau berkata, pada masa ini BAM masih lagi tidak menyenaraikan calon berkelayakan dan kemungkinan perkara itu dilakukan dalam masa terdekat ini supaya persiapan skuad beregu negara untuk menyertai kejohanan besar tidak terjejas.

"Pada masa ini, saya boleh katakan kita tak ada lagi calon untuk menggantikan Flandy berikutan perlu memilih dengan betul dan tepat bagi melatih beregu negara.

"Bukan mudah nak dapat seperti beliau (Flandy)… lihat bagaimana beliau melatih beregu negara hingga prestasi mereka meningkat di peringkat antarabangsa.

"Apa boleh saya katakan sekarang pemain tetap berlatih seperti biasa di bawah bimbingan jurulatih lain dan perkara itu (kekosongan jawatan) akan selesai kelak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Flandy membuat keputusan mengejutkan meninggalkan BAM apabila tidak mahu menyambung kontrak baru.

BAM dalam dalam satu kenyataan mengesahkan ketua jurulatih beregu lelaki itu akan meninggalkan badan induk berkenaan berkuat kuasa 1 April ini iaitu selepas dua tahun menabur bakti di Malaysia.

BAM sudah berusaha untuk menawarkan kontrak baru namun pengendali berusia 48 tahun itu membuat keputusan tidak mahu menyambung perkhidmatannya tatkala beliau mahu memulakan perjalanan karier yang baru.

Keputusan Flandy itu hadir ketika Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul naib juara Terbuka Switzerland baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 2:15 PM