THINAAH (kiri) dan Pearly kandas di pusingan kedua Terbuka Indonesia. FOTO Badminton Photo
THINAAH (kiri) dan Pearly kandas di pusingan kedua Terbuka Indonesia. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, M Thinaah perlu mempunyai 'senjata rahsia' dalam usaha meraih keputusan positif pada setiap kejohanan yang disertainya kelak.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky melihat perkara terbabit penting terutama selepas menyaksikan Thinaah dan pasangannya, Pearly Tan terkandas di pusingan kedua Terbuka Indonesia, semalam.

Thinaah-Pearly dilihat masih bergelut untuk kekal konsisten apabila terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 19-21, 12-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan.

Minggu lalu, pasangan ranking ke-10 dunia itu mara sehingga ke separuh akhir Masters Indonesia sebelum tewas kepada wakil tuan rumah, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21.

Rexy berkata, banyak perkara perlu dilakukan terhadap pasangan negara itu bagi memastikan mereka kekal konsisten seterusnya menjadi pencabar kepada beregu utama dunia yang lain.

"Thinaah-Pearly perlu menguatkan lagi tahap fizikal mereka selain memperbaiki pergerakan mereka di dalam gelanggang agar menjadi lebih sempurna. Thinaah juga perlu mencipta 'pukulan membunuh' (kill shots) bagi mengutip mata," katanya.

Juara Terbuka Switzerland 2021 itu berpeluang untuk menebus kekecewaan di Jakarta apabila beraksi dalam saingan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Bagaimanapun, pasangan itu berdepan laluan berliku apabila membuka tirai kempen menentang beregu China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting pada aksi pusingan pertama.

Jika menang, pilihan ketujuh dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dijangka menanti mereka di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 4:16 PM