PEARLY (kiri) dan Thinaah menjalani latihan di Arena Axiata menjelang Terbuka Malaysia minggu depan. FOTO ASWADI ALIAS
PEARLY (kiri) dan Thinaah menjalani latihan di Arena Axiata menjelang Terbuka Malaysia minggu depan. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berharap dapat bangkit pada Terbuka Malaysia bermula Selasa ini selepas mempamer aksi tidak menentu di dua kejohanan dekat Indonesia.

Pearly-Thinaah terkandas seawal pusingan kedua di Terbuka Indonesia minggu lalu namun mempamer aksi meyakinkan apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir di Masters Indonesia seminggu sebelum itu.

Bulan lalu, pasangan negara yang menduduki ranking ke-10 dunia itu turut cemerlang apabila mara sehingga ke separuh akhir Terbuka Thailand.

Bagi Pearly, jualan tiket yang cukup memberangsangkan di Terbuka Malaysia melonjakkan semangatnya untuk mempamer aksi terbaik di depan penyokong sendiri dekat Arena Axiata.

"Memang sangat teruja sebab kami sudah dapat rasai kehadiran penyokong yang ramai di Istora Senayan (Indonesia). Sekarang tumpuan terarah pula di Terbuka Malaysia dan kami tidak sabar untuk turun beraksi," katanya.

Beregu utama negara itu bagaimanapun berdepan tugas getir seawal pusingan pertama lagi apabila akan bertemu gandingan China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting.

"Tak dinafikan undian agak sukar kerana bertemu pasangan China sejak pusingan pertama lagi.

"Bagi saya mereka adalah antara gandingan yang bagus tetapi kami tak mahu terlalu memikirkannya dan hanya akan cuba mengekalkan momentum ketika beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:53 PM