Myisha muncul Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen. -FOTO BAM
Myisha muncul Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen. -FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita muda negara, Myisha Mohd Khairul akhirnya 'pecah telur' apabila meraih gelaran pertama di pentas antarabangsa selepas menjuarai Siri Antarabangsa Belanda di Wateringen, malam tadi.

Kejayaan cukup manis itu bukan mudah diperoleh oleh atlet berusia 19 tahun itu apabila terpaksa berhempas pulas mengatas rakan senegara Siti Nurshuhaini Azman untuk memenangi perlawanan menerusi 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi final yang berlangsung 70 minit.

Sebagai rekod, ia adalah gelaran pertama pemain ranking ke-328 dunia itu dalam saingan peringkat senior di pentas antarabangsa.

Kejayaan di Belanda itu boleh dianggap tonik terbaik buat Myisha yang akan bersama skuad negara beraksi dalam saingan Piala Uber di Bangkok, Thailand bermula 8 hingga 15 Mei ini.

Sebelum ini, Myisha antara watak penting pasukan wanita negara untuk meraih gangsa Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu.

Sementara itu, Nurshuhaini pula yang akan menggalas cabaran negara di Sukan Sea Hanoi di Vietnam, bulan depan turut wajar diberikan pujian apabila mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan termasuklah memberikan tentangan sengit kepada Myisha ketika aksi final.

Ini adalah gelaran naib juara kedua buat Nurshuhaini di peringkat senior selepas turut melakar pencapaian sama pada saingan Siri Antarabangsa Terbuka Czech 2021.

Pemain berusia 18 tahun itu antara sandaran skuad negara di Hanoi bagi mempertahankan pingat emas Sukan Sea yang dimenangi S Kisona tiga tahun lalu di Manila, Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 1:44 PM