Pemain skuad Piala Uber 2020, Siti Nurshuhaini Azman. FOTO Ihsan Sports 247.my
Pemain skuad Piala Uber 2020, Siti Nurshuhaini Azman. FOTO Ihsan Sports 247.my
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain skuad Piala Uber 2020, Siti Nurshuhaini Azman menerima suntikan semangat terbaik untuk menyertai kejohanan berpasukan wanita paling berprestij di Aarhus, Denmark yang akan berlangsung 9 hingga 17 Oktober, apabila beliau diserapkan ke pasukan senior perseorangan wanita negara serta merta.

Pemain berusia 17 tahun itu akan disertai Joanne Ng, Tan Zhing Yi, Khor Jing Wen dan Loh Zhi Wei dengan kesemuanya berusia 18 tahun.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan yang jawatankuasa pengurusannya telah membuat keputusan, mengenai keperluan jumlah pemain senior yang lebih ramai bagi perseorangan wanita, bagi mencapai objektif memperkuatkan lagi skuad itu.

"Mereka secara rasminya akan menyertai unit di bawah ketua jurulatih Indra Widjaja dan jurulatih Loh Wei Sheng. Semoga yang terbaik untuk anda semua," menurut kenyataan itu lagi.

Dengan penambahan lima pemain itu, skuad perseorangan wanita negara kini mempunyai sembilan pemain.

Pada masa ini, skuad itu kini diketuai pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 S Kisona, diikuti Eoon Qi Xuan, Myisha Mohd Khairul dan K Letshanaa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:22 PM