NORZA sahkan Terbuka Malaysia akan dianjurkan. -FOTO Aswadi Alias
NORZA sahkan Terbuka Malaysia akan dianjurkan. -FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Selepas dua tahun Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19, akhirnya saingan itu kembali menggegarkan Arena Axiata Bukit Jalil pada penghujung Jun ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohd Norza Zakaria berkata, kejohanan terbabit akan berlangsung seperti biasa terutama selepas menerima suntikan dana daripada Petronas.

Beliau berkata, pengumuman berkaitan kejohanan terbabit akan diumumkan kelak terutama penambahbaik berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

"Terbuka Malaysia akan diadakan kelak terutama selepas kita mendapat semangat baru menerusi penajaan Petronas sekali gus ia satu perkara yang membanggakan.

"Kejohanan itu akan diadakan di Arena Axiata dan kita akan maklumkan kepada media berkaitan perkembangan itu," katanya.

Pada 2021, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan bahawa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut.

Tanpa menyatakan sebarang sebab, BWF selaku badan induk dunia mengumumkan pembatalan kejohanan 'Jelajah Dunia Super 750'.

Terbuka Malaysia 2021 pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 25-30 Mei sebelum ditangguhkan disebabkan peningkatan kes Covid-19 pada ketika itu.

Pada edisi 2020 yang dijadualkan pada 31 Mac sehingga 5 April juga dibatalkan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut perancangan, Terbuka Malaysia tahun ini dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 3 Julai, diikuti dengan Masters Malaysia 5-10 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 2:49 PM