AARON (kir) dan Wooi Yik ketika ini beraksi di Terbuka Indonesia. FOTO Badminton Photo
AARON (kir) dan Wooi Yik ketika ini beraksi di Terbuka Indonesia. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapat suntikan semangat baru apabila melonjak kedudukan ke ranking keenam terbaik dunia ketika ini.

Biarpun menghampiri kelompok lima terbaik dunia namun mereka masih mempunyai misi yang perlu dilunaskan iaitu menamatkan badi kejuaraan seterusnya merangkul gelaran sulung di pentas antarabangsa.

Semalam, kedudukan pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu naik satu anak tangga selepas di kemas kini Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kedudukan keenam terbaik dunia itu adalah yang terbaik buat beregu muda negara itu namun bagi Aaron, dia mengakui masih perlu berusaha keras kerana pemburuan kejuaraan pertama tetap keutamaan mereka.

"Kedudukan ranking terbaru itu satu yang positif dan memberi semangat untuk terus berusaha memburu apa yang kami mahukan.

"Kami memang mahukan gelaran juara tapi kami tidak mahu terlalu memikirkannya dan kami tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Sejak digandingkan pada 2017, beregu negara itu masih gagal meraih sebarang kejuaraan namun berjaya meraih gangsa di Olimpik dan pingat emas di Sukan Sea Filipina 2019.

Mereka masih berpeluang memburu kejuaraan selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Indonesia apabila menewaskan pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 25-23, 21-12, semalam.

Aaron-Wooi Yik perlu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan itu sekiranya ingin melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF kerana ketika ini berada di kedudukan ranking kesembilan kejohanan akhir musim itu.

Mereka berdepan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 5:02 PM