Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Masters Indonesia. FOTO File NSTP
Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Masters Indonesia. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengekalkan momentum kemenangan apabila menempah tiket ke separuh akhir Masters Indonesia menewaskan juara Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi-lin.

Mereka berjaya meruntuhkan keegoan beregu Taiwan itu hanya dalam tempoh 31 minit apabila menang 21-13, 21-15.

Ia pastinya kemenangan yang cukup berharga buat beregu negara itu yang masih gagal menamatkan kemarau gelaran juara setakat ini.

Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking ketujuh dunia tidak berdepan masalah untuk menundukkan lawan di set pertama namun dilihat sedikit bergelut di set kedua.

Mereka saling berkejaran mata demi mata sehingga meningkat kedudukan 13 sama.

Namun kawalan gelanggang Aaron-Wooi Yik lebih menyerlah apabila mula meninggalkan lawan selepas ini.

Aaron-Wooi Yik kemudiannya berada di kedudukan selesa apabila meninggalkan beregu di ranking ketiga dunia itu lima mata 19-14 sebelum meraih kemenangan mutlak 21-15 di set kedua.

Turut mengiringi beregu negara itu adalah pasangan beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo ee Yi yang mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin 21-13, 18-21,21-18 selepas beraksi 58 minit.

Manakala impian beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See untuk turut mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tunduk kepada pilihan pertama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 17-21, 9-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:50 PM