AARON dan Woo Yik tewas di tangan beregu China, semalam.
AARON dan Woo Yik tewas di tangan beregu China, semalam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui prestasi mereka belum cukup baik dan perlu bangkit memperbaiki kelemahan sebelum turun beraksi dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.

Gelaran juara di Terbuka Denmark tidak cukup menyuntik semangat mereka selepas tersingkir di pusingan kedua Masters China di Shenzen, semalam apabila terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set di tangan gandingan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu 25-27, 21-18, 17-21.

Aaron mengakui lawan mereka itu beraksi lebih baik kali ini sekali gus menyaksikan Ji Ting-Xiang Yu berjaya menebus kekalahan ketika di Terbuka Denmark bulan lalu.

"Kami tahu kami tidak bermain dengan baik di kejohanan ini. Lawan pula mengambil kesempatan dan bermain dengan baik sehingga berjaya mengawal permainan.

"Kami akan pulang dan mengkaji semula apa yang perlu diperbaiki sebelum ke Hangzhou," Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Berdasarkan kedudukan ranking ketika ini pasangan nombor dua dunia itu sudah pun melayakkan diri ke kejohanan akhir musim itu apabila berada di kedudukan kelima dalam ranking Jelajah Dunia Akhir BWF.

Hanya lapan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia layak beraksi di kejohanan akhir musim itu.

Sebagai rekod, ini kali ketiga pasangan berkenaan berjaya melayakkan diri ke kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$2 juta (RM9.37 juta) itu.

Namun, dua penampilan mereka sebelum ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 2:27 PM