CHONG Wei berkongsi hantaran TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung permohonan maaf pentadbiran SMK Dato Bentara Luar. FOTO Bernama
CHONG Wei berkongsi hantaran TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung permohonan maaf pentadbiran SMK Dato Bentara Luar. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei jelas menolak sikap mengamalkan rasis dalam sukan dan lebih menitikberatkan semangat berbilang kaum antara masyarakat di negara ini.

Semangat itu jelas ditunjukkannya selepas berkongsi hantaran Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung permohonan maaf pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Bentara Luar mengenai insiden mengasingkan kegiatan kokurikulum berdasarkan bangsa dan jantina pelajarnya yang tular kelmarin.

"Steady TMJ, kesian la kawan Melayu saya yang 'power' ping pong dan bola keranjang. Tak kan kawan-kawan India yang laju macam (Ryan) Giggs) main petanque je.

"Saya pun kaki bola maa, nak main bola sepak juga maa. Tengoklah 'dream team' mana-mana, pasti campur-campur (kaum), baru jadi!," tulis Chong Wei di Facebook miliknya.

Status Chong Wei mendapat reaksi positif rata-rata peminatnya yang turut bersetuju agar pihak sekolah tidak mengamalkan isu bangsa dan jantina dalam kegiatan kokurikulum.

Kelmarin, tular di media sosial satu surat dikeluarkan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan 1.

Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan sudah mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap sebuah sekolah menengah itu.

Terkejut dan dukacita dengan perkara itu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin menyifatkan panduan dikeluarkan sekolah itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 4:20 PM