CHONG  Wei bersama keluarga tercinta.
CHONG Wei bersama keluarga tercinta.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei bukan saja berpengalaman di pentas sukan berkenaan namun turut mempunyai 1,000 satu kisah mengenai kehidupannya yang turut mencuit hati.

Malah, gara-gara bulan puasa juga menyebabkan Chong Wei turut terkasima melihat penampar isterinya Wong Mew Choo yang begitu laju seperti 'smash' hinggap di tangan anak sulungnya, Kingston.

Segala berlaku itu ada ceritanya yang dikongsi di laman facebook mengenai kisah Kingston yang terasa hati apabila tidak ada rakan mahu makan bersama di sekolah.

Chong Wei berkata, kejadian berlaku pada hari pertama Ramadan. Kingston mengadu kepada bapanya bagaimana dua rakannya yang berbangsa Melayu enggan menjamah makanan yang dibawanya.

"Tadi masa waktu rehat, saya berkongsi makanan dan minuman dengan rakan sekelas. Ada dua kawan baik saya, Syihan dan Amli tak nak makan. Kenapa? Kemudian saya dinasihati cikgu supaya makan di sudut jauh dari segelintir kawan-kawan.

''Apa salah saya, papa?" tanya Kingston. ''You tak salah. Kawan-kawan you tu sebenarnya dah start puasa. Dan cikgu suruh makan di tepi sebagai tanda penghormatan kepada kawan-kawan yang tengah berpuasa.

"Jadi, kamu kena nasihat kawan-kawan Cina dan India. Mesti sokong kawan-kawan Melayu menjalankan ibadah puasa. Kena bertolak-ansur dan hormat sesama lain,'' jelas Chong Wei kepada anak sulungnya itu.

Sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila anak sulungnya itu yang kini berusia lapan tahun sudah mula menunjukkan sikap memberontak.

"Kenapa kena bertolak ansur ? Saya makan saya punya hal, dia puasa dia punya hal."

Belum sempat Chong Wei marah, penampar Mew Choo terus hinggap ke atas tangan anak. ''Tahulah saya dia pandai smash gak, tapi memang laju tangan dia kali ni. Namun, di sebalik yang berlaku Chong Wei menjelaskan secara terperinci kepada anaknya perlu adanya sikap bertolak ansur dalam kehidupan.

"Kalau kita tak bertolak ansur, Koko tidak akan boleh berkawan dengan Amli dan Syihan lagi. Bayangkan kalau tak bertolak ansur, Koko main mercun semasa New Year mestinya dimaki. "Jika tidak hormat, kawan India buat perarakan Thaipusam mesti dihalang. Andainya tidak menghormati sesama lain, tak mungkin shopping mall ada Christmas tree semasa Christmas. "Kita menang bola (sepak) dan Thomas Cup pun sebab kita bertolak ansur dan bersatu padu," katanya.

Beliau mengakhiri tulisannya dengan ucapan selamat menyambut Ramadan dan berpuasa kepada seluruh umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 3:17 PM