CAVANI mendedahkan Herrera membantu meyakinkannya untuk ke Old Trafford. FOTO Agensi
CAVANI mendedahkan Herrera membantu meyakinkannya untuk ke Old Trafford. FOTO Agensi
AFP

London: Edinson Cavani mendedahkan perbualan saat akhir dengan bekas pemain tengah Manchester United, Ander Herrera membantu meyakinkannya untuk mengambil keputusan berhijrah ke Old Trafford.

Penyerang prolifik itu menamatkan spekulasi berhubung masa depannya dengan menandatangani kontrak bersama United pada hari terakhir jendela perpindahan pemain selepas meninggalkan Paris Saint-Germain.

Pemain berusia 33 tahun itu dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Atletico Madrid, Benfica dan Leeds, sebelum menyertai United.

Dia mendedahkan nasihat daripada Herrera yang pernah beraksi bersamanya di PSG, memainkan peranan penting kepada keputusan terakhirnya.

"Benar, saya banyak bertanya dengan Ander, begitu juga rakan sepasukan lain seperti Angel Di Maria," kata Cavani di dalam web kelab itu.

"Pada saat akhir, saya menghubungi Ander untuk mendapatkan pandangannya. Saya sangat mengagumi Ander disebabkan dia seorang yang baik dan saya dapat merasakan nasihat daripadanya akan dapat membantu saya dengan menceritakan pengalamannya ketika bersama United.

"Memang benar, selepas saya bercakap dengan Ander, saya membuat keputusan untuk menandatangani kontrak dengan kelab ini (United)," kata Cavani.

Cavani sudah merekodkan 341 gol dalam 556 perlawanan sepanjang kerjaya di kelab dan kini mengintai peluang untuk membuktikan kehebatannya dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, dia diberikan jersi nombor tujuh yang sebelum ini dipakai bintang kelab berkenaan seperti George Best, Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 8:38 AM