JURULATIH, Ekkapol Chantawong (tengah) dan anggota skuad ‘Wild Boars’ menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan Everton di Old Trafford. FOTO AFP
JURULATIH, Ekkapol Chantawong (tengah) dan anggota skuad ‘Wild Boars’ menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United dan Everton di Old Trafford. FOTO AFP
AFP

KUMPULAN pemain bola sepak remaja Thailand yang menarik perhatian dunia apabila terperangkap dalam gua lebih dua minggu Julai lalu, hari ini menikmati kegembiraan di Stadium Old Trafford kelab Manchester United.

Selepas bertemu pengurus kelab bola sepak terkemuka itu, Jose Mourinho dan bintang ternama pasukan itu semalam, mereka menjadi tetamu kehormat ketika Red Devils berhadapan Everton dalam Liga Perdana di Manchester.

Mereka turut dijemput ke padang latihan kelab itu, Carrington, untuk bertemu Mourinho dan bintang pertama pasukan menjelang pertemuan dengan Everton.

Mourinho memeluk setiap seorang anggota skuad itu dan bergambar sebelum menandatangani cenderamata.

Pemain seperti Ander Herrera, Paul Pogba, Anthony Martial, Ashley Young, Andreas Pereira dan Fred juga bertemu remaja berkenaan.

Mereka diiringi dua jurulatih, anggota keluarga dan pegawai kerajaan Thailand,

Werachon Sukondhapatipak.

Dua belas remaja daripada kelab ‘Wild Boars’, berusia antara 11 dan 16 tahun, dan jurulatih mereka terperangkap 17 hari di dalam gua sebelum diselamatkan dalam operasi membabitkan pelbagai negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 1:26 AM