GUARDIOLA (kiri) tidak dapat merungkai aksi antara City dan Leeds. FOTO Agensi
GUARDIOLA (kiri) tidak dapat merungkai aksi antara City dan Leeds. FOTO Agensi
Agensi

London: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola mendedahkan Marcelo Bielsa memintanya untuk membuat rumusan sejurus selepas wisel penamat diberikan ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Leeds berjaya mendatangkan beberapa masalah buat City dan mereka layak meraih satu mata di Elland Road.

Raheem Sterling membuka jaringan buat The Citizens pada minit ke-17 ketika anak buah Guardiola menguasai sepenuhnya aksi awal separuh masa pertama.

Leeds akhirnya berjaya menemui rentak permainan dengan pemain yang mencatat rekod pembelian termahal mereka, Rodrigo berjaya menghukum kesilapan Ederson ketika sepakan sudut dan meledak gol pertamanya musim ini.

The Whites mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua, namun Ederson menebus kesilapannya dengan menyematkan tandukan Rodrigo yang hampir menjaringkan gol kemenangan.

Guardiola selepas itu kelihatan berbual dengan Bielsa sebaik wisel penamat dibunyikan dan media bertanyakan butiran perbualan berkenaan.

"Beliau bertanyakan kepada saya apa pendapat saya mengenai perlawanan hari ini, saya menjawab tidak mampu untuk menganalisa perlawanan dalam tempoh singkat. Saya tidak mampu untuk merumuskannya," kata Guardiola.

Leeds setakat ini mengumpul tujuh mata selepas empat perlawanan pertama mereka apabila kembali semula ke EPL dalam tempoh 15 tahun.

Selepas kalah tipis pada aksi pembukaan dengan Liverpool, mereka membuktikan mampu memberi saingan kepada kelab gergasi EPL.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 9:06 AM