EMPAT kelab berada dalam Kumpulan H termasuk PSG dan Man United. FOTO AFP
EMPAT kelab berada dalam Kumpulan H termasuk PSG dan Man United. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain menerima kunjungan Manchester United dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 20 Oktober, menurut UEFA dalam jadual pertandingan yang dikeluarkan semalam.

Kedua-dua kelab bertembung semula di Old Trafford pada 2 Disember dengan RB Leipzig dan Istanbul Basaksehir turut menghuni Kumpulan H.

Manakala juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool memulakan kempen Kumpulan D dengan menentang Ajax di Amsterdam pada 21 Oktober.

Perlawanan pembukaan lain yang turut menarik perhatian termasuk Chelsea menentang juara Liga Europa, Sevilla di Stamford Bridge pada 20 Oktober. Manchester City pula yang belum pernah menjulang trofi paling berprestij Eropah itu menerima kunjungan Porto keesokan harinya.

Juara bertahan Bayern Munich memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan misi sukar berdepan Atletico Madrid di Bavaria.

UEFA berkata, mereka membenarkan penonton menyaksikan aksi Liga Juara-Juara dan kejohanan lain tetapi jumlah dihadkan hanya 30 peratus daripada kapasiti stadium.

Bagaimanapun, sebarang kelonggaran tertakluk kepada lampu hijau daripada kerajaan dan beberapa perlawanan mungkin terus berlangsung tanpa penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 8:45 AM