NADAL membalas hantaran  McDonald. FOTO AFP
NADAL membalas hantaran McDonald. FOTO AFP
AKSI Serena ketika membalas hantaran Tsvetana. FOTO AFP
AKSI Serena ketika membalas hantaran Tsvetana. FOTO AFP
AFP

Paris: Serena Williams sekali lagi berdepan kekecewaan dalam misi memburu gelaran Grand Slam ke-24 selepas terpaksa menarik diri daripada Terbuka Perancis akibat kecederaan betis manakala juara 12 kali, Rafael Nadal dan pilihan utama wanita, Simona Halep mara ke pusingan ketiga.

Serena berusia 39 tahun yang juga juara tiga kali di Roland Garros menarik diri di pusingan kedua ketika menentang Tsvetana Pironkova susulan kecederaan berulang dialami sejak kejohanan pemanas badan di Rome.

"Kecederaan itu tidak mempunyai masa mencukupi untuk pulih selepas Terbuka AS,'' kata Serena yang mengakui tidak cergas sepenuhnya selepas tewas pada separuh akhir di New York.

Ini bermakna dia bakal tersisih baki saingan tahun ini dengan Terbuka Australia 2021 adalah peluang berikutnya untuk dia menyamai pencapaian Margaret Court.

"Saya perlu empat hingga enam minggu untuk berehat dan tanpa melakukan apa-apa,'' katanya yang masih menunggu gelaran utama pertama sejak kali terakhir memenanginya di Melbourne pada 2017.

Sementara itu, Nadal yang dalam misi memintas rekod 20 gelaran utama milik Roger Federer tiada masalah mengatasi cabaran pemain ranking ke-236 dari Amerika Syarikat, Mackenzie McDonald.

Bintang Sepanyol itu menang 6-1, 6-0, 6-3 dan akan menentang pemain Itali, Stefano Travaglia untuk mencari tempat ke peringkat 16 terakhir.

"Apabila anda menang seperti hari ni, bermakna ia bagus apabila anda kurang melakukan kesilapan dan itu membuatkan ia perbezaan,'' katanya.

Juara 2018 dan pilihan utama wanita, Simona Halep mengetepikan cabaran rakan senegara, Camelia Begu 6-3, 6-4 untuk kemenangan ke-16nya berturut-turut tetapi lawan selepas ini ialah pilihan ke-25 dari Amerika, Amanda Anisimova yang menyingkirkan Simona pada suku akhir tahun lalu.

"Saya ingat aksi tahun lalu. Saya gagal beraksi dengan baik ketika itu jadi saya akan buat perubahan dan memanfaatkan peluang,'' kata Simona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 11:36 AM