AFP

Melbourne: Pemain nombor satu dunia Andy Murray (gambar) dan Angelique Kerber dinamakan sebagai pilihan utama semalam bagi kejohanan Terbuka Australia minggu depan dengan penganjur merujuk kepada ranking semasa.

Murray dari Scotland memburu kejuaraan pertamanya di Melbourne Park selepas kalah dalam final lima kali, termasuk pada 2011, 2013, 2015 dan 2016 kepada musuh dari Serbia, Novak Djokovic, yang diletakkan sebagai pilihan kedua.

Angelique akan mempertahankan kejuaraan Grand Slam pertamanya selepas mengejutkan Serena Williams, pilihan kedua tahun ini, pada perlawanan penentuan tahun lalu.

Pemain Kanada, Milos Raonic, yang tewas kepada Murray pada separuh akhir 2016, adalah pilihan ketiga lelaki dengan juara 2014 Stanislas Wawrinka keempat diikuti pemain harapan Jepun, Kei Nishikori.

Pemain legenda Switzerland Roger Federer bermula sebagai pilihan ke-17 ketika dia melakukan kebangkitan semula selepas enam bulan berehat kerana kecederaan lutut. Musuh lamanya Rafael Nadal, yang turut kembali daripada kecederaan, pilihan kesembilan.

Serena, yang memburu gelaran Grand Slam ke-23 untuk mengatasi rekod Steffi Graf pada era Terbuka, dijangka bertemu Angelique sekali lagi pada final.

Namun ada beberapa pemain berbahaya yang mampu menyekat hasratnya dengan pemain Poland, Agnieszka Radwanska pilihan ketiga dan pemain Romania Simona Halep keempat. Naib juara Terbuka AS Karolina Pliskova melengkapkan lima pilihan teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:08 AM