VAN de Beek berang United tidak beraksi seperti diharapkan. FOTO AFP
VAN de Beek berang United tidak beraksi seperti diharapkan. FOTO AFP
AFP

London: Donny van de Beek menyelar Manchester United beraksi dengan perlahan dalam aksi terburuk ketika kalah kepada Crystal Palace semalam.

Bekas pemain tengah Ajax itu masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol pada penampilan pertamanya namun mereka ketinggalan 0-2 dan tewas 1-3 pada permulaan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 23 tahun itu tidak mahu mengimbau kembali aksi sulungnya selepas pengurus United sendiri, Ole Gunnar Solskjaer mengakui pasukannya gagal menepati ramalan di Old Trafford.

Van de Beek terkejut bahaw United kurang bersemangat dan kurang pantas, sebaliknya beraksi terlampau berhati-hati.

"Aksi pertama saya untuk pasukan dan sudah tentu anda mahukan kemenangan. Tidak kisah bagaimana kemenangan itu dicatatkan.

"Saya sangat kecewa kami kalah 1-3 di tempat sendiri. Ia sangat teruk. Kami tidak mempunyai ketajaman seperti Palace tapi minggu lalu dalam latihan kami bermain dengan baik.

"Kami berlatih dengan bagus, jadi saya rasa ia sangat positif tapi akhirnya kami bermain dengan rentak perlahan. Terlalu lama memegang bola dan saya rasa berdepan lawan seperti Crystal Palace anda harus lepas pantas bagi mencipta sesuatu. Ia tidak begitu baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 12:17 AM