Aksi pemain Everton, Donny van de Beek (kiri) merebut bola daripada pemain Leeds United. FOTO Reuters
Aksi pemain Everton, Donny van de Beek (kiri) merebut bola daripada pemain Leeds United. FOTO Reuters
Reuters

Liverpool, England: Pengendali Everton, Frank Lampard memuji aksi Donny van de Beek selepas pemain tengah yang dipinjam dari Manchester United itu menampilkan persembahan baik ketika membantu kemenangan 3-0 menewaskan Leeds United pada aksi Liga Perdana.

Pemain berusia 24 tahun itu yang bergandingan dengan Allan di tengah, mengawal permainan selain memainkan peranan dalam gol pembukaan Everton yang dijaringkan Seamus Coleman pada babak pertama.

"Saya rasa Donny van de Beek sangat hebat. Bermain seperti itu di laman sendiri - dengan ketenangan, kerja keras dan kepintaran adalah sesuatu yang hebat," kata Lampard selepas mencatat kemenangan pertama dalam liga selaku bos Everton.

"Saya rasa dia boleh memainkan banyak peranan dan kerana itu saya segera mendapatkannya. Dia ada bakat untuk mengaitkan semua orang dan ia membawa kami ke bahagian atas. Dia juga memberikan ancaman untuk gol, jadi satu kelebihan membawanya ke sini."

Pemain kebangsaan Belanda itu menyertai United dari Ajax Amsterdam pada Ogos 2020 tetapi gagal mendapat tempat di Old Trafford dengan dia hanya bermula dalam empat perlawanan liga sebelum dipinjamkan ke Everton bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:01 AM