AZIZULHASNI bersama Beasley.
AZIZULHASNI bersama Beasley.
Oleh Aida Adilah Mat


KEADAAN pandemik Covid-19 semakin terkawal melegakan ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley yang kini mula merencanakan perancangan terbaik dua pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan Mohamad Shah Firdaus Sahrom.

Katanya, keadaan di Melbourne kini mula kembali normal secara berperingkat dan latihan ke velodrom juga sudah dibenarkan selain aktiviti di gimnasium.

Malah beliau turut melihat kedua-dua pelumba itu begitu bersemangat untuk kembali berlatih di trek dan kini berada dalam keadaan terbaik dari segi mental dan fizikal.

Biarpun ia sedikit mencabar namun Azizul dan Shah Firdaus sudah berjaya mengatasi tempoh waktu yang sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan dengan sangat baik.

"Ketika ini, kami di sini kembali berlatih di trek tiga minggu dan sudah dapat kembali menyambung latihan seperti biasa. Saya sangat gembira melihat mereka berjaya melalui fasa ini dengan begitu tenang. Semuanya hampir kembali ke normal.

"Sebelum ini pun mereka cukup bersemangat menjalani latihan biarpun terpaksa melakukannya di rumah dan saya bangga dengan cara kedua-dua altet negara itu melalui fasa yang begitu mencabar ini," katanya.

Bagaimanapun, perlu diakui Azizul dan Shah Firdaus memerlukan masa untuk mereka kembali ke prestasi terbaik, namun semua itu sudah ada dalam perancangan Beasley.

"Mereka tidak akan berada di prestasi terbaik dalam waktu terdekat ini atau hingga hujung tahun ini kerana tarikh Olimpik yang sudah ditunda. Prestasi kemuncak itu mungkin akan diperoleh tiga bulan sebelum Olimpik tahun depan.

"Jadi buat ketika ini mereka akan meneruskan latihan asas selain cuba mencari beberapa perlumbaan di negara berdekatan namun bergantung juga kepada keadaan semasa," katanya.

Firdaus Sahrom.
Firdaus Sahrom.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:01 AM