Ronald Koeman. FOTO AFP
Ronald Koeman. FOTO AFP
AFP

RONALD Koeman bersedia menerima tawaran yang diidamkan di Barcelona selepas Presiden kelab gergasi Sepanyol itu, Josep Maria Bartomeu mendedahkan pengendali dari Belanda itu akan menjadi jurulatih seterusnya buat mereka.

Koeman yang juga bekas bintang Barca dan pengendali skuad Belanda sejak 2018, akan menggantikan Quique Setien yang dipecat selepas Barca dimalukan dengan kekalahan 2-8 kepada Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara.

"Koeman akan menjadi jurulatih Barca untuk musim depan," kata Bartomeu.

"Jika semuanya berjalan lancar, Koeman akan menjadi jurulatih yang diumumkan kami dan akan memacu pasukan ini serta pemain dengan projek berbeza.

"Dia seorang yang sangat dikenali peminat, bukan hanya pemain tetapi juga sebagai jurulatih."

Menurut laporan Koeman dan ejennya berunding untuk dua tahun kontrak lewat petang Isnin lalu dengan tahun kedua bergantung kepada keputusan pemilihan presiden.

Koeman adalah wira Barca selepas menyerlah dalam 'pasukan impian' Johan Cruyff, di mana dia memenangi kejuaraan La Liga antara 1991 dan 1994.

Dia turut menjaringkan gol kemenangan pada final Piala Eropah 1992 - kejayaan pertama kali kelab Catalan itu pada saingan kejohanan kelab utama Eropah.

Koeman berkata menjadi jurulatih Barcelona adalah impiannya dan dia akan meninggalkan pasukan negaranya selepas dua tahun setengah mengambil alih skuad berkenaan untuk mengambil peluang yang diberikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 9:02 AM