AIMAN Afif akan cuba rebut tempat dalam skuad Maloney. FOTO FA Kedah
AIMAN Afif akan cuba rebut tempat dalam skuad Maloney. FOTO FA Kedah
Syazwan Msar


KEHADIRAN Pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Kamal tidak menggentarkan Mohd Aiman Afif Md Afizul untuk memberikan saingan sengit bagi memastikan posisi di bahagian tengah turut menjadi miliknya nanti.

Malah, Mohd Aiman atau sinonim dengan gelaran 'Budak Tebing' akan mempamerkan aksi lebih mantap sekali gus cuba menambat hati pengendali skuad Bawah-19 (B-19) Brad Maloney.

Katanya, ketika ini dia lebih fokus untuk membiasakan diri dengan situasi latihan yang agak berbeza berbanding ketika bersama skuad Piala Presiden Kedah.

"Wan Kuzri seorang pemain yang memiliki teknik permainan yang baik dan sebagai pemain banyak perkara boleh belajar dengan dia.

"Ketika ini, perbezaan antara latihan bersama skuad Presiden dan B-19 adalah membabitkan corak latihan namun setakat ini tiada masalah untuk mengikutinya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Pemain muda skuad Lang Merah menjadi perhatian apabila namanya disenaraikan dalam latihan skuad B-19 negara bagi persiapan menghadapi Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan pada Oktober ini.

Aiman yang kini berusia 19 tahun turut mempamerkan prestasi cemerlang ketika mewakili skuad Malaysia B-18 dalam saingan kelayakan AFC B-19 tahun lalu dimana dia turut membanggakan Kedah dengan merekodkan tujuh gol dalam kejohanan itu.

Skuad B-19 dalam program persediaan untuk menghadapi pusingan akhir kejohanan AFC B-19 dari 14 hingga 31 Oktober di Tashkent, Uzbekistan.

Dia sebelum ini menjadi perhatian netizen terutama penyokong Lang Merah apabila wajahnya dikatakan seiras pelakon popular drama bersiri TV3 Budak Tebing dan telefilem, Heri Bota, Aedy Ashraf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 7:57 PM