Bintang Manchester United, Paul Pogba. FOTO File Reuters
Bintang Manchester United, Paul Pogba. FOTO File Reuters
Agensi

PAUL Pogba berkata dia tidak sabar-sabar lagi untuk kembali beraksi bersama Manchester United selepas pemenang Piala Dunia itu semakin pulih daripada kecederaan pergelangan kaki.

Selepas hanya terbabit dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini, kehadiran Pogba hampir pasti akan meningkatkan pilihan di barisan tengah pasukan buat pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Pogba berkongsi rakaman sesi latihannya di gimnasium apabila kelihatan melakukan pergerakan dengan pantas selepas pelindung kakinya dibuka.

“Empat minggu selepas pembedahan, saya berasa baik,” katanya dalam satu rakaman di Instagram.

Satu lagi imej dipaparkannya dengan kenyataan : "Tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke padang.”

Dalam satu lagi kenyataan, pembelian termahal United dengan harga £89.3 juta (RM479.13 juta) itu menulis: “Kecergasan melampaui batasan anda.”

Solskjaer mengambil pendekatan berwaspada sebelum mempertaruhkan Pogba dan pemain tengah Perancis itu diarahkan agar meneruskan sesi pemulihannya tatkala rakan sepasukannya yang lain menuju ke Sepanyol untuk menjalani kem musim panas ketika ini.

Bagaimanapun, Pogba semakin hampir untuk kembali menyarung jersi United.

Bekas bintang Juventus itu menambah kehadiran pemain baharu di United, Bruno Fernandes dari Sporting CP bermakna akan menambah pilihan gandingan di jentera tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:46 AM