HAMILTON rindu sorakan penonton. FOTO Agensi
HAMILTON rindu sorakan penonton. FOTO Agensi
AFP

LEWIS Hamilton yang akan memulakan misi memburu gelaran juara dunia tujuh kali Formula Satu berasakan 'kesepian dan kurang inspirasi'.

Pemandu Britain berusia 35 tahun itu akan kembali ke litar di Austria pada 5 Julai seleps kejohanan dunia terhenti di Australia pada Mac lalu susulan pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, protokol kesihatan yang ketat bagi melindungi pemandu, mekanik dan semua petugas bermakna tiada kehadiran penonton dan Hamilton memahaminya tetapi tidak dapat merasakan keseronokan.

"Memandu sepanjang tempat duduk penonton yang kosong tidak menaikkan semangat pelumba. Ia akan terasa sepi," katanya dalam video yang dimuatnaik pasukan Mercedes.

"Kami bersiap sedia dengan cara terbaik bagi menghadapi musim paling sukar. Saya fikir Formula 1 dan kita semua mengharungi saat sukar dengan perubahan terpaksa dilakukan demi perlumbaan dapat berlangsung semula."

"Saya juga berterima kasih kepada penyokong yang menghantar banyak mesej positif. Ia sangat membantu pasukan sejak beberapa bulan lalu dan kami pasti merindui sorakan anda ketika perlumbaan nanti," katanya.

Hamilton hanya memerlukan satu lagi gelaran dunia untuk menyamai rekod tujuh kejuaraan milik Michael Schumacher.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 12:02 PM