REAKSI  Hamilton di atas podium selepas tamat perlumbaan di Litar Mugello di  Scarperia e San Piero. FOTO AFP
REAKSI Hamilton di atas podium selepas tamat perlumbaan di Litar Mugello di Scarperia e San Piero. FOTO AFP
Agensi

LEWIS Hamilton meraih kejuaraan ke-90 dalam kariernya selepas mengatasi rakan sepasukan dari Mercedes, Valtteri Bottas dalam perlumbaan mencemaskan di Grand Prix Tuscan, semalam.

Perlumbaan itu menyaksikan dua bendera merah dikibarkan, pertama insiden di laluan lurus dan kedua nahas membabitkan Lance Stroll pada kelajuan tinggi.

Dalam salah satu perlumbaan paling dramatik sejak beberapa tahun lalu, enam kereta terpaksa keluar sebelum menamatkan saingan.

Pelumba Red Bull dari Thailand, Alex Albon meraih podium pertamanya dengan menduduki tangga ketiga.

Kemenangan Hamilton adalah yang keenam dalam sembilan perlumbaan musim ini dan menjarakkan kedudukan kepada 55 mata dan hanya satu lagi kejuaraan untuk menyamai rekod Michael Schumacher.

Ketika demonstrasi anti perkauman sebelum perlumbaan, dia memakai baju tertera: "Tangkap polis yang membunuh Breonna Taylor." Ia merujuk kes kontroversi di Amerika Syarikat apabila polis menembak mati orang awam berkulit hitam.

"Perlumbaan yang agak emosi bagi saya,'' kata Hamilton selepas tamat perlumbaan. ''Ia seperti tiga perlumbaan sehari...memang sukar hari ini.

"Litar ini menarik, dengan kepanasan dan Valtteri di belakang yang sangat pantas, memang tidak mudah. Saya ketinggalan pada awalnya.

"Dengan permulaan semula, sepenuh tumpuan diberikan ketika itu, ia sangat sukar.''

Selepas mendahului pada awal perlumbaan, Bottas tampak mampu meraih kemenangan tetapi dua permulaan semula yang buruk membolehkan rakan sepasukan memintasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 11:04 AM