MINI gim buat dua pelumba negara di rumah masing-masing. FOTO Ihsan Facebook Shah Firdaus
MINI gim buat dua pelumba negara di rumah masing-masing. FOTO Ihsan Facebook Shah Firdaus
Aida Adilah M


MINI gim sudah siap disediakan oleh jurulatih basikal negara, John Beasley bagi kegunaan dua atlet basikal negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di rumah masing-masing.

Kata Beasley dia perlu lebih kreatif bagi memastikan kedua-dua atlet negara itu kekal cergas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Melbourne ketika ini.

Beasley sedar dunia sekarang melalui tempoh yang sukar dan beliau bersama atlet negara turut terkena tempiasnya apabila fasiliti yang ada tidak dapat digunakan namun dengan adanya gim sendiri di rumah masing-masing ia sedikit melegakan Beasley.

“Saya kini lebih tenang apabila sudah siapkan gim di kedua-dua rumah pelumba negara untuk memastikan mereka meneruskan latihan seperti biasa.

“Kami hanya perlu fleksibel dan kreatif bagaimana untuk meneruskan latihan dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebagai satu pasukan.

“Saya kini sudah menyusun program yang terbaik untuk Azizulhasni dan Shah menghadapi Olimpik tahun depan dan sebenarnya kami tidaklah dalam situasi yang teruk,” katanya.

Begitupun Beasley berkata, apa yang membimbangkannya ketika tempoh PKP ini adalah untuk memastikan pelumba terus bermotivasi menghadapi situasi ketika ini kerana ia bukanlah masa untuk merehatkan kaki daripada berhenti menggayuh pedal.

Beliau berharap kedua-dua pelumba negara itu mencari teknik terbaik menambah kelajuan dan kekuatan biarpun tidak dapat turun menjalani latihan seperti biasa.

Sementara itu, Shah dalam laman instagramnya menunjukkan mini gim yang sudah disiapkan di rumahnya di Melbourne.

Gim yang akan digunakannya dalam tempoh PKP di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 10:32 PM