MASA depan Guardiola di Etihad makin kelam. FOTO Agensi
MASA depan Guardiola di Etihad makin kelam. FOTO Agensi
Agensi

MAURICIO Pochettino menjadi pilihan utama Manchester City jika Pep Guardiola meninggalkan pasukan pada musim panas.

Citizens digantung menyertai kejohanan Eropah selama dua musim oleh UEFA selepas menyalahi peraturan Financial Fair Play (FFP).

Dengan hanya trofi Liga Juara-Juara yang masih gagal dijulang City sejak kedatangan Pep Guardiola, masa depan pengendali dari Sepanyol di Etihad tampak dalam bahaya dengan bekas jurulatih Tottenham Hotspur, Pochettino menjadi calon pilihan menggantikan Guardiola, menurut Sun.

Bekas pengendali dari Argentina itu menganggur sejak dipecat Spurs pada awal Disember, hanya enam bulan selepas membawa kelab utara London itu ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama.

Pochettino kerap dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester sejak 12 bulan lalu tetapi ramai percaya United yang akan memilikinya selepas sekian lama menaruh minat selain tekanan makin memuncak ke atas pengurus sekarang, Ole Gunnar Solskjaer.

Dia yang berusia 47 tahun itu dilaporkan berdiri sebelah PR baharu United, Neil Ashton ketika aksi Brentford menentang Leeds United dalam aksi pertengahan Championship minggu lalu.

Bagaimanapun, City sedia memintas dalam usaha mendapatkan tandatangan Pochettino walaupun gagal menjamin tempat ke Liga Juara-Juara sehingga 2022.

City berkata mereka akan merayu hukuman UEFA itu yang bakal turut merugikan mereka sehingga £170 juta (RM918 juta) dari segi keuntungan sepanjang dua tahun. Mereka juga dijangka bergelut untuk terus mengekalkan pemain utama seperti Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Sergio Aguero susulan hukuma UEFA itu.

Selain Pochettino, pengurus Leicester City, Brendan Rodgers dan pengendali RB Leipzig Julian Nagelsmann turut dikaitkan dengan juara bertahan Liga Perdana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 12:33 PM