BADDROL tidak beraksi menentang Kuala Lumpur, semalam.
BADDROL tidak beraksi menentang Kuala Lumpur, semalam.
Izzali Ismail


FAKTOR penyudah tumpul menjadi halangan Kedah mencipta keputusan positif apabila tewas mengejut 1-2 kepada Kuala Lumpur dalam aksi persahabatan di Stadium Darul Aman semalam.

Ketiadaan penyerang utama Kpah Sherman dan juga kapten Baddrol Bakhtiar yang dilanda kecederaan tampak menyukarkan percaturan skuad Lang Merah terutama dalam gerakan mencari gol meskipun mendominasi keseluruhan perlawanan.

Menurut ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, ketiadaan penyerang simpanan menyukarkan mereka terutama apabila penyerang utama seperti Kpah Sherman mengalami kecederaan di saat akhir.

"Pada perlawanan ini kami membuat beberapa percubaan kombinasi berbeza seperti meletakkan Farhan Roslan bergandingan dengan Kipre Tchetche dalam menggerakkan serangan dan di bahagian bawah Irfan Zakaria beraksi bersama Shakir Hamzah sementara Fadzrul Danel bersama Amin Nazari."

"Kami mencuba beberapa kombinasi yang berbeza dari perlawanan lalu kerana perlawanan pramusim bukanlah mengenai kemenangan semata-mata."

Pada perlawanan semalam, Lang Merah terlebih dahulu dikejutkan peawat melalui jaringan Zhafri Yahya pada minit ke-32 selepas beberapa percubaan bahaya dari Tchetche di awal perlawanan gagal menghasilkan gol buat Kedah.

Skuad kendalian Nidzam Adzha sekali lagi membolosi benteng Kedah melalui gerakan Francis Kone pada minit ke-61 sebelum Kedah merapatkan jurang di hujung perlawanan hasil tandukan Tchetche.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 11:19 AM