PEMAIN Kedah, Renan Alves diasak Gassama. FOTO Bernama
PEMAIN Kedah, Renan Alves diasak Gassama. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memulakan langkah kanan apabila menewaskan Kelantan United FC (KUFC) 3-0 pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.

Kemenangan dengan pungutan tiga mata ini menempatkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak di kelompok dua teratas pada kedudukan kumpulan C.

Kedah membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pemain sayap Syazwan Zainon selepas penjaga gawang KUFC, Fikri Che Soh gagal menghalang bola dihantar Baddrol Bakhtiar dari tengah.

Kipre Tchetche hampir menambah gol kedua buat Kedah lapan minit kemudian, namun penyerang import itu gagal melakukan penyudah apabila bola sedikit tersasar di atas palang gol.

Kedah sekali lagi mendapat peluang terbaik menerusi penyerang, Kpah Sherman pada minit ke-24 selepas menerima lorongan dari Fadzrul Danel namun percubaannya tersasar ke kiri pintu gol.

KUFC cuba bangkit melalui gerakan dari bahagian kanan gawang Kedah dengan percubaan pemain tengah Syahrul Azwari pada minit ke-35 namun sepakannya melencong ke sebelah kiri.

Selepas beberapa kali melakukan serangan, Kedah akhirnya menambah gol kedua pada hujung babak pertama melalui percubaan jarak dekat Kipre Tchetche.

Bermula babak kedua, skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor dilihat cuba meningkatkan serangan memburu gol hasil tandukan Alfusainey Gassama pada minit ke-55 namun tandukannya sekadar singgah ke palang gol Kedah.

Pemain sayap Kedah Syazwan Zainon sekali lagi menambah duka KUFC apabila menyumbat gol ketiga Kedah pada minit ke-58 selepas menerima hantaran silang Kipre Tchetche.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 11:33 PM