BALOTELLI sekali lagi menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman. FOTO AFP
BALOTELLI sekali lagi menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman. FOTO AFP
AFP

MARIO Balotelli meluahkan kemarahannya awal pagi tadi selepas sekali lagi menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman, kali ini daripada penyokong Lazio selepas dia menjaringkan gol buat Brescia ketika pasukannya tewas 1-2, memberitahu mereka ‘Tindakan anda memalukan’.

“Kekalahan mengecewakan tetapi kami akan bangkit lebih kuat dan kami berada di landasan yang tepat,” kata pemain Itali berusia 29 tahun itu di Instagram.

“Peminat Lazio yang berada di stadium MEMALUKAN! #katakantidakkepadaperkauman.”

Balotelli menjaringkan gol pertama selepas minit ke-18 di stadium Brescia Stadio Mario Rigamonti sebelum Lazio bangkit menerusi jaringan berganda Ciro Immobile.

Namun perlawanan itu dibayangi ejekan memalukan yang ditujukan ke atas bekas pemain Manchester City dan Liverpool.

“Sudah kali kedua,” kata Balotelli kepada pengadil Gianluca Manganiello selepas setengah jam dan pengadil itu membalas: “Saya akan tanganinya sekarang.”

Jurulatih Lazio Simone Inzghi memberi isyarat kepada penyokong pelawat supaya berhenti bersorak dan pengumuman dibacakan di stadium mengingatkan penonton bahawa perlawanan akan ditangguhkan dan kelab mereka akan dikenakan penalti jika mereka teruskan.

Peminat Brescia cuba meredakan keadaan dengan sorakan yang menerima tepukan Balotelli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 10:35 AM