LIAM HENDERSON
LIAM HENDERSON
AFP

PEMAIN Scotland Liam Henderson hari ini mengecam kempen anti perkauman Serie A yang menggunakan imej monyet sebagai ‘bodoh dan tidak wajar’ selepas pemain Verona menyaksikan sendiri ejekan berusur perkauman awal ini yang ditujukan kepada pemain Brescia, Mario Balotelli.

Bekas pemain tengah Celtic dan Hibernia yang menyertai Verona tahun lalu, berada di padang ketika penyerang Itali Balotelli menjadi sasaran ejekan monyet daripada segelintir penyokong Verona dalam aksi liga Itali 3 November lalu.

“Itulah kali pertama saya mengalami sesuatu seperti itu,” kata pemain berusia 23 tahun itu mengenai ejekan yang diterima Balotelli.

“Saya melihatnya di televisyen, ke atas pemain Inter Milan Romelu Lukaku dan Raheem Sterling di Stamford Bridge.

“Saya berada di bangku dan tidak mendengar apa-apa tetapi jelas sekali daripada reaksi Balotelli, dia mendengar sesuatu.

“Anda tidak memberi reaksi seperti itu tanpa sebab.”

Perlawanan itu yang dimenangi Verona 2-1 ditangguhkan selama beberapa minit apabila Balotelli mengugut mahu meninggalkan padang.

Henderson juga kurang senang dengan kempen anti perkauman Serie A yang dilancarkan minggu ini yang memaparkan tiga imej monyet.

“Saya fikir, ia bodoh dan tidak wajar,” katanya.

Awal bulan ini, akhbar harian sukan Itali Corriere dello Sport menggunakan tajuk ‘Black Friday’ bersama-sama gambar Lukaku dan pertahanan AS Roma dari England Chris Smalling sebagai previu perlawanan kedua-dua kelab di Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 10:15 AM