Roberto Firmino (kiri) dan Leonel Vangioni ketika Liverpool mengatasi kelab Mexico Monterrey 2-1 dalam aksi Piala Kelab Dunia. FOTO  AFP
Roberto Firmino (kiri) dan Leonel Vangioni ketika Liverpool mengatasi kelab Mexico Monterrey 2-1 dalam aksi Piala Kelab Dunia. FOTO AFP
AFP

ROBERTO Firmino tampil dari bangku simpanan untuk memberikan jaringan kemenangan pada saat akhir ketika Liverpool mengatasi kelab Mexico Monterrey 2-1 dalam aksi Piala Kelab Dunia yang akan mempertemukan mereka dengan Flamengo pada final hujung minggu ini.

Aksi bermula baik buat anak buah Juergen Klopp itu dengan Naby Keita memberikan jaringan awal, menggembirakan penyokong di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Bagaimanapun Monterrey segera menyamakan kedudukan menerusi penyerang Argentina Rogelio Funes Mori dan juara Liga Juara-Juara CONCACAF itu mengikat Reds untuk tempoh yang lama.

Namun ketika perlawanan memasuki minit pertama dalam tiga minit masa kecederaan dan dengan kemungkinan beraksi di masa tambahan, Firmino segera menyambut hantaran Trent Alexander-Arnold untuk jaringan jarak dekat ke gawang dan membawa kelab Anfield itu ke peringkat seterusnya.

Meluangkan masa tatkala sibuk mengharungi kempen untuk memburu Liga Perdana Inggeris untuk ke Qatar, Liverpool tampak lega berjaya mengharungi ujian itu dan mereka semakin hampir untuk menjulang kejuaraan itu buat kali pertama.

“Ia perlawanan yang sukar. Mereka sungguh agresif ke atas kami. Saya fikir pengadil kurang mempertahankan kami tetapi saya bukan datang ke sini untuk mengeluh,” kata Mohamed Salah selepas dinamakan pemain terbaik perlawanan.

“Namun saya fikir pada akhirnya kami mempamerkan kualiti dan menang pada minit terakhir, jadi saya fikir kami berhak.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 8:51 AM