Khidmat Khairul Amri masih ditagih oleh The Fighters. FOTO NSTP
Khidmat Khairul Amri masih ditagih oleh The Fighters. FOTO NSTP
Asrol Awang


HANYA penyerang import dari Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal sah kekal bersama Felda United FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Manakala empat lagi pemain import musim ini iaitu Kei Ikeda dan Masaki Watanabe dari Jepun serta Thiago Aquino dan Jocinei Schad dari Brazil tidak dilanjutkan kontrak.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman berkata, keputusan mengekalkan Khairul Amri yang juga bekas pemain kebangsaan Singapura itu berdasarkan prestasi membanggakan bersama kelab itu.

"Kita memutuskan mengekalkan Khairul Amri kerana prestasinya sangat bagus dan menjadi contoh yang baik kepada pemain muda.

"Dia (Khairul Amri) juga memberi motivasi kepada barisan pemain muda dalam meningkatkan prestasi dan bersaing bersama pemain lebih berpengalaman," katanya.

Ditanya kekosongan ditinggalkan empat import itu, Afizal berkata, pihak pengurusan sudah mempunyai beberapa pemain import baru untuk memperkasakan The Fighters.

Katanya, setakat ini, segala urusan berkaitan kontrak masih dalam perbincangan dan ia akan diumumkan sebaik dipersetujui kedua-dua pihak.

"Kita harap gabungan pemain import dan tempatan terutama barisan pemain muda membentuk persefahaman sekali gu memberi saingan kepada pasukan lawan nanti.

"Bagi menghadapi saingan Liga M musim depan, seramai 15 pemain adalah membabitkan anak Felda sendiri," katanya.

Empat pemain utama skuad Felda United FC sah tidak lagi bersama pasukan itu.

Mereka adalah Hadin Azman yang juga kapten pasukan musim ini, Norazlan Razali, Christie Jayaseelan dan Arif Fadzillah Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 4:12 PM