AKSI Sterling menjaringkan gol pertama City.  - FOTO Reuters
AKSI Sterling menjaringkan gol pertama City. - FOTO Reuters
Reuters

MANCHESTER City meraih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan C Liga Juara Juara selepas menewaskan Dinamo Zagreb 2-0 menerusi jaringan dua pemain gantian, Raheem Sterling dan Phil Foden di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Pertahanan kental kelab Croatia itu kerap menghampakan juara Liga Perdana itu pada babak pertama dan City hanya meraih peluang terbaik menerusi percubaan Ilkay Gundogan yang terkena palang pada minit ke-21.

Kemasukan Sterling meningkatkan tempo permainan dan menambah sengat di bahagian jentera serangan City. Pemain antarabangsa England itu memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-66 selepas dia yang menerima hantaran Riyad Mahrez menolak bola masuk dari jarak dekat.

Dinamo berusaha menyamakan kedudukan pada lewat permainan tetapi terperangkap menerusi serangan balas pantas City apabila Sterling menggunakan larian derasnya untuk memecah pertahanan lawan dan melorongkan bola kepada Foden yang tenang merembat gol kedua tuan rumah.

City kini mendahului di tangga teratas dengan enam mata daripada dua perlawanan selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 3-0 manakala Dinamo memiliki tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 8:13 AM