PEMAIN pertahanan Glasgow Rangers, Borna Barisic (dua dari kiri) berebut bola dengan pemain tengah PSV, Xavi Simons (kanan) pada perlawanan di Eindhoven, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan Glasgow Rangers, Borna Barisic (dua dari kiri) berebut bola dengan pemain tengah PSV, Xavi Simons (kanan) pada perlawanan di Eindhoven, hari ini. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Rangers kembali ke aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menang 1-0 di PSV Eindhoven, hari ini.

Dinamo Zagreb turut layak selepas menang ketika masa tambahan mengatasi kelab Norway, Bodo/Glimt.

Antonio Colak menjaringkan gol kemenangan Glasgow selepas sejam perlawanan apabila Milik Tillam merampas bola daripada pemain pertahanan PSV, Andre Ramalho dan mengumpan kepada penyerang Croatia itu.

Rangers layak ke final Liga Europa musim lalu, tetapi tewas di tangan Eintracht Frankfurt dan penampilan semula ke Liga Juara-Juara Eropah itu melengkapkan prestasi memberangsangkan kelab Scotland itu.

Selepas berdepan masalah kewangan dan hampir dibubarkan, Rangers bermula semula di liga bahagian empat bola sepak Scotland pada 2012.

"Memang sukar menggambarkan dengan kata-kata, ia adalah prestasi sepasukan yang hebat. Ia adalah perjalanan menakjubkan buat kami tahun ini dan saya bangga dengan semua rakan," kata Colak.

"Saya menangis di tengah padang, ia adalah detik sangat menggembirakan. Ketika kanak-kanak, saya mahu bermain di peringkat ini dan apabila berjaya layak, memang sungguh menakjubkan," katanya.

Celtic turut mara ke peringkat kumpulan yang bermakna kedua-dua kelab gergasi Scotland berada dalam kejohanan elit ini buat kali pertama sejak musim 2007/08.

Dinamo Zagreb pula memerlukan masa tambahan untuk menewaskan Bodo/Glimt 4-1 untuk mencatat kemenangan agregat 4-2, selepas kelebihan awal mereka dinafikan lawan.

Mislav Orsic meletakkan Dinamo di depan pada minit keempat, sebelum sepakan gunting Bruno Petkovic menjadikan kedudukan 2-1 secara agregat.

Bagaimanapun, juara Norway itu kembali bersaing apabila Albert Gronbaek menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Bagaimanapun, pada babak kedua masa tambahan, Dinamo mengesahkan kemaraan menerusi jaringan Josip Drmic dan Petar Bockaj.

FC Copenhagen turut layak selepas seri 0-0 di Turki menentang Trabzonspor, untuk memastikan kemenangan agregat 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:15 AM