Neymar (kanan) meraikan jaringan bersama Mbappe dan rakan sepasukan. FOTO Reuters
Neymar (kanan) meraikan jaringan bersama Mbappe dan rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

BINTANG Brazil, Neymar berikrar ‘menyerahkan seluruh jiwa raga kepada PSG’ selepas jaringannya memastikan gergasi Perancis di puncak Ligue 1 dengan kemenangan 1-0 di Bordeaux, Perancis, awal pagi ini.

Neymar antara pemain bola sepak termahal dunia, dikaitkan kuat untuk kembali menyertai Barcelona pada musim panas yang teruk.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk memenangi hati penyokong PSG, yang kebanyakannya tidak yakin dengan penampilan pemain itu di ibu negeri Perancis, Neymar dilihat seperti menemui sentuhan penyudah apabila menjaringkan gol buat kali ketiga musim ini.

“Saya sangat gembira kerana dapat membantu PSG, tambah lebih baik buat penyokong pasukan ini,’ katanya. “Ia seumpama bersama teman wanita, satu ketika anda nakal, tetapi dengan pelukan dan lebih kasih ia semakin baik.

“Saya di sini untuk memberikan sepenuh jiwa raga saya kepada PSG. Mereka adalah pasukan saya, impian saya adalah untuk membantu kelab dan terus berusaha menjaringkan gol.”

Kylian Mbappe dan Neymar bergandingan bersama buat pertama kali musim ini dan kombinasi mereka hanya menghasilkan satu gol di Bordeaux.

Mbappe, yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan sejak 25 Ogos lalu, bermula di bangku simpanan tetapi dengan PSG berusaha gigih untuk memecah kebuntuan jaringan, dia dimasukkan selepas sejam aksi permainan.

“Apa yang paling penting gol ini cukup bermakna, dalam perlawanan yang sengit, disebabkan itu saya di sini,” tambah Neymar.

“Ia sememangnya satu penghormatan besar untuk digandingkan dengan Kylian lagi. Dia kembali dengan senyuman dan bakat bola sepak yang dimilikinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 8:40 AM