Masa depan Mbappe sering menjadi bualan. FOTO AFP
Masa depan Mbappe sering menjadi bualan. FOTO AFP
AFP

Paris: Kapten Perancis, Kylian Mbappe memberitahu pengawai di Paris Saint-Germain (PSG) bahawa dia berhasrat untuk meninggalkan kelab itu apabila kontraknya tamat pada akhir musim, kata sumber yang rapat dengan juara Ligue 1 itu.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang tiba di Paris dari Monaco pada 2017, menyambung kontraknya pada 2022 hingga 2024 tetapi pada musim panas lalu dia enggan mengaktifkan klausa yang membolehkannya kekal setahun lagi di PSG.

Mbappe dikhabarkan akan berpindah ke Real Madrid dan menurut sumber yang rapat dengan perkara itu, sudah ada rundingan dengan gergasi Sepanyol itu.

"Syarat perlepasan masih belum dipersetujui sepenuhnya," kata sumber itu, sambil menambah bahawa kelab dan Mbappe akan membuat kenyataan rasmi apabila semuanya dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.

PSG enggan mengulas ketika dihubungi AFP tetapi difahamkan pemergian Mbappe akan diumumkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan lagi.

"PSG memberi tumpuan kepada masa depan," kata sumber itu.

Selepas tujuh musim di PSG, Mbappe, penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 274 gol, kelihatan bersedia untuk berpindah ke Real Madrid, kelab yang diimpikan pemain itu sejak zaman kanak-kanaknya.

Real tidak merahsiakan hasrat mereka untuk membawanya ke Santiago Bernabeu.

Pada 2019, 2021 dan 2022, presiden kelab, Florentino Perez mempertimbangkan untuk menandatanganinya namun ia sering ditolak oleh PSG.

Bagi PSG, kehilangan bintang utama mereka, setahun selepas pemergian Neymar dan Lionel Messi, menandakan permulaan era baharu yang tidak pasti.

Jurulatih, Luis Enrique dijangka diberi kuasa untuk membentuk pasukan baharu, muda dan lebih segar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:58 AM