Penyerang PSG, Kylian Mbappe (kiri) dan Neymar ketika menjalani latihan. FOTO AFP
Penyerang PSG, Kylian Mbappe (kiri) dan Neymar ketika menjalani latihan. FOTO AFP
Agensi

Paris: Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar menegaskan rakan sepasukannya, Kylian Mbappe tidak boleh dibandingkan dengan Lionel Messi kerana kedua-dua pemain mempunyai corak permainan yang berbeza.

Mbappe mengecapi satu lagi kempen mengagumkan dengan meledak 33 gol dalam semua kejohanan, termasuk lapan daripadanya dalam saingan Liga Juara-Juara.

Pemain kebangsaan Perancis itu dijangkakan bakal memenangi Ballon d'Or pada satu hari nanti, malah dia masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk menyamai enam anugerah bagi gelaran sama yang di menangi Messi.

Neymar beraksi empat musim disamping Messi di Barcelona dan kini bintang Argentina itu dikaitkan bakal beraksi bersama Mbappe di PSG, tetapi dia tidak dapat melihat kesamaan antara dua pemain itu.

"Sukar untuk dibandingkan," katanya.

"Mereka dua pemain yang mempunyai gaya berbeza ketika beraksi.

"Messi adalah antara pemain terbaik yang pernah saya lihat, dan Kylian menunjukkan peningkatan dalam usaha menjadi antara pemain terbaik."

Neymar dan Mbappe menjadi tonggak pasukan PSG yang menyingkirkan Bayern Munich menerusi gol di tempat lawan selepas mencatat agregat 3-3 pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 6:50 PM