MBAPPE (tengah) pada aksi persahabatan bertemu Celtic. FOTO AFP
MBAPPE (tengah) pada aksi persahabatan bertemu Celtic. FOTO AFP
AFP

KYLIAN Mbappe berkata dia akan kekal bersama juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) musim depan walau apa juga berlaku di sebalik spekulasi berhubung masa depannya.

"Saya di sini, saya sebahagian daripada projek empat tahun," kata Mbappe, 21 kepada Beln Sport ketika berakhir babak pertama perlawanan yang menyaksikan PSG mencatat kemenangan 4-0 ke atas Celtic pada perlawanan persahabatan di depan 5,000 penyokong di Parc des Princes.

"Ulang tahun kelab yang ke-50 adalah amat penting untuk pasukan, penyokong dan mereka yang menyokong kami. Jadi saya akan terus berada di sini walau apa juga berlaku.

"Saya akan cuba membantu memenangi trofi dan memberikan yang terbaik kepada kelab," kata Mbappe yang tiba di PSG dari Monaco pada 2017 dengan nilai perpindahan 180 juta euro (RM884.9 juta)

Real Madrid sering dikaitkan dengan Mbappe namun presiden kelab, Florentino Perez pada minggu lalu berkata, juara La Liga itu tidak akan menandatangani barisan pemain bintang pada pintu perpindahan pemain.

"Kylian mempunyai kontrak bersama kami, jadi kami tidak akan menjualnya. Dia amat penting kepada pasukan.

"Adalah satu anugerah dapat bekerjasama bersamanya," kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel.

"Keserasiannya bersama Neymar sangat bagus. Ia membuatkan semua orang gembira dan ia menjadi kekuatan PSG," katanya lagi.

Mbappe menjaringkan gol pertama untuk PSG minit pertama sebelum Neymar menambah gol kedua minit ke-25 pada perlawanan pemanas badan terakhir sebelum bertemu Saint-Etienne di final Piala Perancis, Jumaat ini.

Ander Herrera menjadikan kedudukan 3-0 selepas berakhir babak pertama dan Pablo Sarabia kemudian menyumbang gol keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 8:15 AM