HISHAM (tengah) pada sidang media pelancaran Kuala Lumpur Esports Master 2020 di Subang Jaya. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ServerWare, Rupern Chiu (kiri) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Gamesbond, Fazli Razak (kanan).
HISHAM (tengah) pada sidang media pelancaran Kuala Lumpur Esports Master 2020 di Subang Jaya. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ServerWare, Rupern Chiu (kiri) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Gamesbond, Fazli Razak (kanan).
Oleh Ferzalfie Fauzi


PENASIHAT Diraja Persatuan E-Sukan Malaysia (ESM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijangka menjadi tarikan utama di Kejohanan Kuala Lumpur E-Sports Masters 2019 yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Menurut Presiden E-Sukan Kuala Lumpur (ESKL), Hisham Darus, Tunku Ismail akan hadir pada 29 September ini di lokasi kejohanan iaitu di Le Meridien Putrajaya.

“Selain itu, Tunku Ismail juga akan merasmikan Kejohanan Kuala Lumpur E-Sports Masters 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM1 juta,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Hisham berkata, selain melancarkan kejohanan untuk tahun depan, Tunku Ismail juga dijangka mengadakan sesi santai bual bicara dengan penggiat sukan e-sukan.

“Mungkin ada soalan, pandangan dan cadangan daripada peminat e-sukan kepada Tunku Ismail yang juga penasihat diraja ESM, sekali gus membantu mengangkat e-sukan ke peringkat lebih tinggi.

“Antara tarikan lain dan masih dalam peringkat perbincangan ialah membawa empat atlet dari Kuala Lumpur yang bakal mewakili negara di Sukan SEA Manila 2019. Kita berharap Tunku Ismail dapat meluangkan masa dan memberi kata-kata semangat buat atlet berkenaan,” katanya.

Hisham juga mengumumkan setakat semalam seramai 2,500 orang sudah membuat pendaftaran untuk menghadiri kejohanan berkenaan.

“Jumlah ini dijangka meningkat dan paling penting ialah masuk adalah percuma, hanya perlu melakukan pendaftaran di www.serverdna.asia untuk memperoleh tiket dalam talian,” katanya.

Selain pertandingan FIFA20 dan Counter Strike:Global Offensive, kejohanan itu juga dijangka menjadi sesi perhimpunan komuniti e-sukan terbesar dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 6:00 AM