Malaysia Esport Master 2020 mempertandingkan permainan ciptaan tempatan iaitu Eximius. FOTO NSTP
Malaysia Esport Master 2020 mempertandingkan permainan ciptaan tempatan iaitu Eximius. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kejohanan Malaysia Esport Master 2020 merekodkan penyertaan memberangsangkan apabila menerima kira-kira 16,000 penyertaan berbanding sasaran asal iaitu 12,000.

Menurut Presiden Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL), Hisham Darus, kejohanan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) buat julung kalinya turut mempertandingkan permainan ciptaan tempatan iaitu Eximius.

"Selain permainan Eximius, Kejohanan Malaysia Esport Master 2020 turut mempertandingkan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB), PUBG Mobile dan FIFA20 Pro Club dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000," katanya.

Ujar Hisham, kejohanan peringkat negeri sudah berlangsung dari 2 sehingga 4 Oktober lalu, manakala Peringkat Kebangsaan akan berlangsung dari 9 (esok) hingga 11 Oktober.

"Apa yang bezanya kali ini kita ada Eximius sebab ini adalah permainan pertama yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

"Saya sangat positif bahawa sambutan memberangsangkan ini adalah petanda baik buat esukan.

"Ia juga dapat membantu kerajaan bagi memastikan golongan belia kekal di rumah ketika pendemik Covid-19 di negara ini kembali pada tahap membimbangkan," katanya.

Kejohanan ini turut disokong oleh Predator dan Todak selain RTM Sports selaku rakan media yang menyiarkan perlawanan secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 6:41 PM