MOUNT (tengah) permata baharu Blues. — FOTO premierleague.com
MOUNT (tengah) permata baharu Blues. — FOTO premierleague.com
AFP

MUSIM sulung Frank Lampard di Chelsea masih dalam perhatian namun kemunculan Mason Mount dan Tammy Abraham bermakna sudah ada tanda positif dalam era baharu di Stamford Bridge.

Lampard - pasukannya berdepan Sheffield United di laman sendiri malam esok - berjanji untuk memberi peluang kepada pemain muda apabila beliau kembali ke bekas kelabnya pada musim panas ini.

Keputusan bekas pemain tengah itu bukan hanya disebabkan larangan pembelian pemain dikenakan terhadap kelab itu, namun kepercayaannya terhadap pemain simpanan berbakat di akademi kelab itu yang sering kali tidak diendahkan pengurus terdahulu.

Hakikat John Terry adalah pemain terakhir tempatan yang tampil dari akademi sebelum mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan utama membenarkan kenyataan itu yang membabitkan pengurus Chelsea akhir-akhir ini sejak zaman Jose Mourinho hinggalah Maurizio Sarri.

ABRAHAM (dua kiri) turun dalam kesebelasan utama menentang United. — FOTO premierleague.com
ABRAHAM (dua kiri) turun dalam kesebelasan utama menentang United. — FOTO premierleague.com

Namun jika prestasi awal musim diambil kira, Mount dan Abraham boleh tampil dalam kesebelasan Chelsea dalam tempoh yang lama.

Mount sudah mencuri tumpuan dengan persembahan pemain tengah itu membantunya meraih panggilan ke skuad England kendalian Gareth Southgate bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Bulgaria dan Kosovo.

Pemain berusia 20 tahun itu berada di Chelsea sejak berusia enam tahun dan menghabiskan musim lalu beraksi secara pinjaman bersama Lampard di Derby County dalam Liga Kejuaraan.

Keupayaannya amat difahami pengurus yang begitu yakin dengannya apabila menurunkannya dalam kesebelasan utama tiga aksi Chelsea setakat ini.

LAMPARD akhirnya menang kali pertama di Carrow Road. — FOTO premierleague.com
LAMPARD akhirnya menang kali pertama di Carrow Road. — FOTO premierleague.com

Mount membalas dengan gol dalam dua aksi terakhirnya dan disertai dalam senarai penjaring ketika menang 3-2 di Norwich City hujung minggu lalu oleh Abraham yang meledak dua gol pertamanya buat kelab itu di Carrow Road.

Abraham menunjukkan potensinya dengan menyumbat 37 gol liga ketika membantu Aston Villa melonjak ke Liga Perdana sebelum kembali ke Chelsea pada musim panas ini.

Namun keputusan Lampard meletakkan pemain berusia 21 tahun itu bukannya Olivier Giroud pada aksi pembukaan musim menentang Manchester United di Old Trafford mencetus keraguan banyak pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 12:04 PM