TAMMY Abraham
TAMMY Abraham
AFP

TAMMY Abraham memastikan kejayaan pertama Chelsea dalam era Frank Lampard apabila jaringan berganda penyerang muda itu menyumbang kemenangan 3-2 ke atas Norwich malam ini.

Lampard mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan sejak mengambil alih tugas selaku pengurus Chelsea tetapi legenda Blues itu akhirnya berjaya melepasinya selepas meletakkan kepercayaan kepada Abraham.

Abraham gagal menjaringan gol dalam tiga penampilan sebelumnya musim ini tetapi penyerang berusia 21 tahun itu meledak gol pertamanya buat kelab itu untuk meletakkan Chelsea di depan dalam aksi di Carrow Road.

Pertarungan mendebarkan itu menyaksikan Todd Cantwell menyamakan kedudukan buat Norwich sebelum Mason Mount kembali meletakkan Chelsea di depan.

Bagaimanapun jaringan kelima Teemu Pukki dalam tiga perlawanan musim ini memberikan mata penyamaan buat Norwich sebelum tamat separuh masa pertama.

Abraham kemudiannya memastikan tiga mata buat Chelsea menerusi penyudah berbisanya pada separuh masa kedua.

Slepas tewas kepada Manchester United dan seri dengan Leicester dalam dua perlawanan pertama Chelsea di Liga Perdana Inggeris, Lampard semakin teruja dengan aksi yang ditunjukkan Abraham dan Mount.

Beliau meletakkan harapan kepada pemain mudanya untuk membantu Chelsea mengharungi musim sukar yang menyaksikan kelab itu berdepan penggantungan perpindahan, malah tanpa pemain terbaik mereka apabila Eden Hazard memilih untuk ke Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 10:12 PM