MADISON Keys menjulang gelaran kelimanya dan kedua sepanjang musim ini dengan selepas kemenangan di Charleston April lalu. FOTO Agensi
MADISON Keys menjulang gelaran kelimanya dan kedua sepanjang musim ini dengan selepas kemenangan di Charleston April lalu. FOTO Agensi
AFP

MADISON Keys bangkit daripada ketinggalan dalam kedua-dua set untuk menewaskan Svetlana Kuznetsova 7-5, 7-6 (7/5) awal pagi tadi untuk menjulang gelaran Cincinnati.

Finalis Terbuka Amerika Syarikat 2017 itu menjulang gelaran kelimanya dan kedua sepanjang musim ini dengan selepas kemenangan di Charleston April lalu.

Dia akan kembali menyertai kelompok 10 teratas ranking dunia dengan Terbuka AS berbaki seminggu lagi.

Svetlana, juara Grand Slam dua kali cuba melonjakkan namanya dalam ranking dunia selepas pelbagai kecederaan, berjaya dipatahkan pada game ke-10 setiap set oleh Madison, pilihan ke-16 kejohanan yang melakar 13 ace untuk merebut kejuaraan.

“Jika pasukan saya memberitahu saya seminggu lalu bahawa saya akan berada di sini, saya mungkin ketawakan mereka,” kata Madison yang dua kali tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas pusingan kedua di Wimbledon.

Madison mencatat 43 winners dengan 33 kesilapan dan mematahkan servis Svetlana tiga kali.

Svetlana adalah juara Grand Slam keempat yang tumbang kepada Madison minggu ini, selepas pemain Sepanyol Garbine Muguruza, juara Wimbledon Simona Halep dan Venus Williams.

“Ia undian yang sukar sejak mula,” kata Madison.

“Saya fikir saya bermain dengan baik secara konsisten minggu ini.

“Saya benar-benar gembira dan bangga dengan diri sendiri,” katanya sambil menambah ia tidak akan memberi tekanan terhadapnya untuk Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 12:40 PM