JOTA meraikan kejayaan mengatasi Newcastle pada separuh akhir Trofi Liga Perdana Asia, hari ini. — FOTO premierleague.com
JOTA meraikan kejayaan mengatasi Newcastle pada separuh akhir Trofi Liga Perdana Asia, hari ini. — FOTO premierleague.com
Agensi

WOLVERHAMPTON Wanderers menempah tiket ke final Trofi Liga Perdana Asia Sabtu ini apabila menang besar 4-0 ke atas Newcastle United di Nanjing, China.

Anak buah Nuno Espirito Santo mendahului pada minit ke-15 apabila pertahanan kiri Jonny mengumpan kepada Diogo Jota, yang melakukan rembatan leret sebelum terbias pertahanan Newcastle, Jamaal Lascelles.

Wolves terus menghukum Newcastle apabila Jonny bertindak cemerlang sekali lagi dengan hantarannya singgah di kaki pemain graduan akademi berusia 19 tahun, Morgan Gibbs-White, yang merembat masuk dari penjuru kotak penalti.

Jota menambah golnya lima minit sebelum rehat, memperdaya Isaac Hayden dalam kotak penalti Magpies sebelum meledak masuk mengatasi penjaga gol Karl Darlow.

JOTA (kiri) menjaringkan gol ketiga Wolves. — FOTO AFP
JOTA (kiri) menjaringkan gol ketiga Wolves. — FOTO AFP

Wolves meraih gol keempat apabila Thomas Allan tertanduk bola ke dalam golnya sendiri susulan sepakan sudut.

Mereka akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Manchester City dan West Ham United pada final Sabtu ini di Shanghai, manakala Newcastle menentang pasukan kalah bagi penentuan ketiga-keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:25 PM