Penyerang Tottenham, Harry Kane (kanan) menjaringkan gol ketika berdepan Newcastle. FOTO EPA
Penyerang Tottenham, Harry Kane (kanan) menjaringkan gol ketika berdepan Newcastle. FOTO EPA
AFP

Newcastle, United Kingdom: Perlawanan pertama Newcastle selepas pemilikan menerusi dana kekayaan Arab Saudi bermula hambar ketika Tottenham menghampakan peminat di St James' Park dengan kemenangan 3-2, awal pagi ini.

Kekalahan itu meletakkan Newcastle masih berada dalam zon penyingkiran dan tanpa kemenangan dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Harapan peminat skuad itu begitu tinggi selepas impak besar daripada suntikan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) untuk mengubah nasib Newcastle di gelanggang.

Gabenor PIF, Yassir Al-Rumayyan diberikan sambutan wira oleh 55,000 peminat selepas dia diperkenalkan sebelum sepak mula perlawanan.

Pengerusi baharu Newcastle United, Yasir Al-Rumayyan dari Arab Saudi (dua kiri) dan Amanda Staveley (tengah kanan) menyaksikan perlawanan membabitkan Newcastle menentang Tottenham. FOTO EPA
Pengerusi baharu Newcastle United, Yasir Al-Rumayyan dari Arab Saudi (dua kiri) dan Amanda Staveley (tengah kanan) menyaksikan perlawanan membabitkan Newcastle menentang Tottenham. FOTO EPA

Suasana luar biasa pada perlawanan itu dengan permulaan sempurna bagi skuad tuan rumah apabila Callum Wilson menanduk masuk gol berpunca hantaran silang Javier Manquillo dua minit selepas perlawanan bermula.

Tanguy Ndombele mengejutkan tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-17 selepas menerima hantaran Sergio Reguilon untuk mencetus kebangkitan Tottenham.

Harry Kane kemudiannya menamatkan kemarau jaringan dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas berjaya mengelirukan Karl Darlow.

Kapten England itu pada mulanya dikatakan berada pada kedudukan ofsaid tetap pemerhatian menerusi VAR membenarkan jaringan berkenaan.

"Saya tahu terdapat banyak yang bercakap dan gangguan sekeliling saya malah saya tahu ia sentiasa menjadi punca apabila anda pernah menjaringkan gol dan segalanya kadang kala tidak menjadi buat anda," kata Kane.

"Saya sentiasa berusaha untuk beraksi lebih baik."

Heung-Min Son menambah jaringan ketiga Spurs sebelum waktu rehat perlawanan selepas menerima hantaran Kane.

Newcastle menamatkan aksi dengan 10 pemain apabila Jonjo Shelvey dilayangkan kad kuning kedua berbaki kira-kira tujuh minit sebelum tamat perlawanan.

Pada penghujung babak perlawanan Eric Dier menolak bola ke jaring gol sendiri selepas menerima asakan daripada pihak lawan.

Spurs melonjak ke kedudukan kelima dan menyamai 15 mata dengan pasukan di tangga keempat Brighton. Newcastle pula kekal memungut tiga mata untuk berada di tangga tercorot liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:28 AM