Tengku Abdul Fahd (kanan) bersama Hamidin. FOTO FB FAM
Tengku Abdul Fahd (kanan) bersama Hamidin. FOTO FB FAM
Meor Riduwan Meor Ahmad


ALMARHUM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dianugerahkan dengan Anugerah Belang Legenda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Anugerah itu sebagai mengenang jasa besar Almarhum dalam pembangunan bola sepak negara selaku Presiden FAM paling lama berkhidmat iaitu dari 1984 sehingga 2014 mahupun di peringkat serantau sebagai Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1994 sehingga 2002 serta Presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) pada 2011.

Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah berkenan menerima anugerah khas itu pada upacara Majlis Daulat Dijunjung, Kasih Disanjung sempena Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kali Ke-55 hari ini.

Sebagai simbolik, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang mempengerusikan kongres itu turut menyampaikan potret Almarhum.

Kongres dimulakan dengan bacaan al-fatihah dan upacara bertafakur serta sesi tayangan video khas mengenai jasa dan sumbangan Almarhum terhadap sukan nombor satu di Malaysia dan dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 10:23 PM