Fokus kini terarah kepada Soniia (kanan) berikutan prestasi tidak menentu Jin Wei. FOTO NSTP
Fokus kini terarah kepada Soniia (kanan) berikutan prestasi tidak menentu Jin Wei. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


MASA depan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang masih tidak menentu mendorong Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengalihkan fokus membantu Soniia Cheah melyakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann tidak menafikan Soniia adalah pengganti terbaik untuk mengisi slot ke Tokyo ketika peluang Jin Wei dilihat semakin samar selepas direhatkan kerana mengalami masalah kesihatan di bahagian perut.

"Jika melihat kepada prestasi semasa, memang ketika ini hanya Soniia dan Jin wei yang menonjol.

Barisan pemain perseorangan wanita yang lain masih dalam proses untuk meningkatkan prestasi mereka.

"Jadi kami akan cuba sedaya upaya membantu Soniia memperbaiki kedudukan rankingnya bagi membolehkannya layak beraksi di Olimpik.

"Saya harap Soniia dapat mempamerkan prestasi yang bagus apabila diberi peluang turun beraksi," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Soniia ketika ini menduduki ranking ke-33 dunia sementara Jin Wei ke-26.

Berhubung tahap kesihatan Jin Wei, Choong Hann berkata juara dunia remaja dua kali itu diberi kelonggaran untuk menghadiri sesi latihan atau sebaliknya.

"Kami tak pasti sehingga bila dia dapat kembali beraksi sepenuhnya. Buat masa sekarang kami tidak memaksanya untuk turun menjalani sesi latihan.

"Jin Wei mempunyai masa yang fleksibel untuk menjalani latihan.

Yang penting adalah dia berasa selesa dan pada masa sama dapat meneruskan proses pemulihannya," katanya.

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Tey Seu Bock sebelum ini berkata beliau tidak mahu Jin Wei terlalu memikirkan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 4:44 PM