FARKHAN bersama tali pinggang yang dirangkul iaitu Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Lightweight dan Asia Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship. FOTO Bernama
FARKHAN bersama tali pinggang yang dirangkul iaitu Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Lightweight dan Asia Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship. FOTO Bernama
FARKHAN akan menentang Alexander di Pattaya, Thailand pada 30 Jun ini. FOTO Bernama
FARKHAN akan menentang Alexander di Pattaya, Thailand pada 30 Jun ini. FOTO Bernama
BERNAMA

PENINJU profesional negara, Farkhan Haron menyasarkan kejuaraan keempat karier profesionalnya apabila berdepan penyandang tali pinggang cruiserweight kejuaraan Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia, Alexander Bajawa di Pattaya, Thailand, 30 Jun ini.

Peninju dari Johor itu yang memulakan karier profesional pada 2015, bagaimanapun menegaskan, dia menghormati lawannya dari Indonesia itu yang mencatat rekod cemerlang dengan 43 menang, lapan kalah dan empat seri.

Farkhan, 31, yang memegang rekod sembilan kemenangan tanpa kalah, mengakui kejayaan mengalahkan Alexander pada pertarungan tanpa gelaran di Bangkok, Disember lalu berbeza berbanding perlawanan kali ini yang membabitkan perebutan tali pinggang.

“Dia bekas juara Persatuan Tinju Asia (WBA) dan Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) dan amat berpengalaman, selain masih bertahan walaupun menjangkau usia 37 tahun, tapi saya yakin mampu mengatasinya,” kata Farkhan pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, bekas peninju kebangsaan itu menjelaskan dia menjalani latihan intensif sejak beberapa minggu lalu di Singapura dan Indonesia di bawah jurulatih peribadinya, Zulkifli Yaacob yang menjadi nadi kejayaannya meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) empat kali berturut-turut.

Farkhan mengakui latihan di Singapura menjadi medan terbaik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Alexander kerana rakan sepelatih di sana mempunyai fizikal yang hampir dan lebih besar daripadanya.

“Saya cuma ada masa kurang dua minggu untuk menurunkan berat badan saya daripada 96kg kepada 90kg sebelum 29 Jun ini kerana berat saya akan ditimbang pada hari itu sebelum bertarung keesokan harinya,” jelasnya.

Farkhan memenangi tali pinggang cruiserweight WBC Asia di Singapura pada 2016, disusuli tali pinggang light heavyweight WBC Asia di Johor Bahru pada 2017. Dia terus mengharumkan nama negara apabila meraih tali pinggang cruiserweight Persekutuan Tinju Asia (ABF) di Manila, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:18 PM