MUHAMMAD Farkhan (kiri) beramah mesra bersama Onn Hafiz di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan PBT Negeri Johor di Bangunan MBIP. FOTO Mary Victoria Dass
MUHAMMAD Farkhan (kiri) beramah mesra bersama Onn Hafiz di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan PBT Negeri Johor di Bangunan MBIP. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron menggalas cabaran baharu apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Muhammad Farkhan, 34, berkata, menjadi peninju profesional bukan penghalang baginya untuk berkhidmat kepada masyarakat dan membawa suara anak muda di Johor bagi meningkatkan kemakmuran.

Menurutnya, beliau dilantik kerajaan negeri Johor sebagai Ahli Majlis MBIP bagi kuota profesional dan badan bukan kerajaan.

"Amanah dan tanggungjawab ini akan saya laksanakan dengan sebaiknya. Tugas ini agak besar dan mencabar juga kerana saya perlu berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat, tetapi saya rasa ini adalah platform terbaik untuk menabur bakti kepada komuniti.

"Jawatan ini mungkin berbeza bidang tetapi saya rasa ini adalah perkara yang baik untuk saya ke depan terutama membawa suara anak muda," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan PBT Negeri Johor di Bangunan MBIP di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Muhammad Farkhan berkata, dia juga berazam untuk menghidupkan kawasan di sekitar Medini, di sini dengan pelbagai program bermanfaat.

Katanya, dia kini sedang melakukan persediaan menghadapi Johor International Boxing Championship pada Disember depan bagi merebut tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia (cruiserweight)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 4:13 PM